WAR ON TERRORIST
SUATU LANGKAH KEAMANAN ATAU TRAGEDI PENINDASAN
11 September sudah berlalu,namun kesan tragedy runtuhan WTC dan PENTAGON masih menjadi igauan umat dunia kini. Siapakah yang menjadi ingatan kita berkaitan peristiwa yang tragis ini? Adakah 2973 orang mangsa kematian runtuhan WTC dan Pentagon atau 180,000 warga dunia yang terbunuh dan ratusan juta warga dunia lain yang cedera akibat kekejaman Amerika dalam propagandanya menentang 'terrorist'? Ternyata Amerika tidak mempunyai modal serta alasan yang cukup kukuh untuk menakluki bumi –bumi yang kini masih basah dengan titisan darah pejuang keamanan dan golongan yang bertungkus-lumus berjuang mencapai kebebasan tanah air daripada cengkaman kuasa-kuasa Barat. Masyarakat dunia kini melihat, sudah suatu tempat malahan suatu ruang kecil yang selamat sebaliknya bumi menjadi tempat yang berbahaya untuk didiami.
Kuasa pemerintah negara-negara dunia ketika ini semakin tergugat dan kelihatan semakin terhakis ketika mana kuasa Raja Pemerintah dunia semakin kuat mencengkam dan menindas Negara-negara jajahannya. Apabila George W. Bush berdepan dengan Kongres dan negara pada Selasa malam baru-baru ini(12 September 2006), dia mempersembahkan dirinya (sekali lagi) sebagai presiden perang. Secara peribadi dan politik, identiti tersebut memang sesuai dengannya. Bush bukan lagi pemimpin yang mentah seperti ketika dia baru menjadi presiden, dia akan berlagak sebagai seorang yang gigih, dengan gambaran bahawa perjuangannya sehingga ke akhir hayat. Bush makin kukuh di tampuk kedudukannya untuk terus menjustifikasikan diri serta polisinya sebagai ketua komander perang walaupun tidak disahkan oleh kuasa-kuasa besar dunia lain termasuk China, Rusia, Jerman serta Negara-negara berpengaruh yang lain.Amerika kini menjadi sebuah Negara yang berperang dengan konspirasi kongresional. Kesilapan penilaian rakyat Amerika terhadap kepimpinan George W. Bush menjadi trauma berpanjangan setelah 3 tragedi kehancuran status dan nilai keamanan sedunia iaitu Tragedi 9/11, Peperangan Afghanistan serta Perang Iraq. Kini dunia menuju ke arah kehancuran sebuah bumi yang subur dengan nilai-nilai kehidupan, iaitu Palestin dan Lubnan. Rakyat Amerika tidak sedar bahawa mereka telah mengundi Bush bagi memberi suatu lesen untuk menggunakan all necessary and appropriate force (segala kuasa yang patut dan sesuai baginya).
Slogan Anti-Keganasan yang diwarwarkan oleh kerajaan Amerika menjadi sindiran hebat kepada negara-negara utama dunia. Slogan mereka adalah kosmetik semata-mata dalam agenda perluasan kuasa dan hegemoni Amerika terhadap kuasa-kuasa paksi dunia serta ke arah mewujudkan Negara Teokrasi yang berkuasa mutlak di dunia. Menyingkap kembali rentetan konflik serta peperangan di Iraq, Amerika merupakan 'mastermind' dalam menyusun strategi peperangan dan permusuhan antara aliran-aliran agama di Iraq. Rakyat Amerika yang peduli yang cuba membayangkan keadaan dari sudut pandangan rakyat Iraq, melihat bahawa pencerobohan asing secara besar-besaran dilancarkan atas alasan yang palsu. Pendudukan yang kejam, dengan mengawal simpanan minyak tempatan sudah tentu sebahagian daripada motivasinya. Kematian adik-beradik, sepupu, anak-anak, ibu bapa yang memilukan, sudah tentu "pemberontakan" merupakan respon yang wajar bagi mereka. Matlamatnya adalah untuk memaksa penceroboh dan penjajah keluar. Sunni, Shi'ah dan Kurdis mempunyai alasan yang sah untuk menganggap satu sama lain sebagai musuh, daripada saingan ke atas tanah dan minyak, kepada dendam etnik, kepada urusan yang belum selesai. Tiada sumber yang sepadan mengenai kebencian kerana mereka dimomokkan dengan diayah(propaganda) Amerika. Diambil sebagai satu entiti yang menyeluruh atau bahagian-bahagiannya, Iraq bukan musuh. Bush telah mengukir kata-kata bahawa Iraq hanya satu daripada wajah dalam perang terhadap keganasan. Sudah tentu, dalam kerajaan tersebut, dimana musuhnya mempunyai nama dan wajah, Amerika Syarikat dengan sahih sedang dalam peperangan. Namun, sehingga kini kita melihat Bush masih mempertahankan kedudukannya sebagai pemerintah 'keamanan' dalam proses rehabilitasi konflik-konflik dunia. Kekejaman demi kekejaman dalam menentang keganasan dilakukan oleh Amerika Syarikat. Label 'pengganas' yang diletakkan pada pejuang Al-Qaeda menjadi propaganda yang paling berjaya dalam komplot perluasan jajahan taklukannya. Namun, kesilapan besar buat Amerika kerana tidak dapat meneliti pergerakan Al-Qaeda sebagai idea penghapusan hegemoni Amerika. Pertubuhan radikal yang terapung bebas ini tidak berdiri atas kuasa pemerintahan negara malah ia bukan juga rangkaian kuasa-kuasa besar dunia. Osama Bin Laden sendiri adalah tokoh yang mitos yang tiada catatan sejarah sehingga George W. Bush menamakannya pencabar Amerika dengan mengatakan Tragedi 9/11 sebagai aksi perang yang perlu dibalas dengan perang, yang sepatutnya jenayah dibalas dengan pengadilan jenayah. Tetapi reaksi keterlaluan ini, pada ketika itu begitu memuaskan minda Amerika yang cedera, kini beralih kepada perang dimana pihak sana tidak muncul-muncul. Lantaran itulah, Amerika meletupkan Iraq sebagai galang gantinya, serta dendam yang tidak terbalas terhadap kumpulan 'pengganas' Al-Qaeda.
Tokoh-tokoh politik, pakar-pakar sejarah serta golongan falsafah dunia kini mengecam pentadbiran Bush di Washingon. Peperangan menentang keganasan yang digagaskan oleh Bush kini semakin menghampiri pergolakan dan pertembugan antara Tamadun, iaitu tamadun Islam dan Barat.peperangan 11/9/2001 menjadi titik tolak bermulanya era kemusnahan tamadun manusia. Politik, pentadbiran, orentasi penempatan dan sejarah dunia setelah pasca perang dunia ke –2 berubah sama sekali berikutan peperangan demi peperangan di arena dunia. Kebimbangan pemimpin-pemimpin negara semakin bertambah akibat kecaman kuasa politik dunia untuk patuh pada arahan dan mengakui setiap tindak tanduk serta pergerakan mereka. Namun, masih ada sebahagian besar negara-negara dunia yang berkompromi serta mewujudkan kolaborasi dengan pentadbiran Amerika, antaranya Britain, Australia, Israel dan beberapa buah negara lain yang kelihatan kagum dengan kekejaman Presiden George Bush. Australia dengan megah menyatakan ektrimis Islam menjadi punca serangan 11/9 serta Al-Qaeda adalah golongan yang paling bertanggungjawab terhadap tragedy serangan ini. Hakikatnya, Australia tidak pernah berhasrat untuk menyatakan kesedihannya terhadap tragedy 11/9, sebaliknya mereka hanya mahu menjaga kepentingan peribadi, perluasan pengaruh serta mahu diiktiraf oleh pentadbiran Amerika sebagai agen keamanan sejagat. Betapa kotor dan keji perbuatan Australia.
Sehingga kini, kenangan pahit kian tercatat dalam buku catatan sejarah dunia. Bilangan pelarian dunia sehingga berakhir bulan Ogos 2006 mencatatkan seramai 4.5 million pelarian. Ini merupakan angka atau jumlah pelarian terbesar yang pernah dicatatkan dalam sejarah tamadun dunia. Kenyataan pakar ekonomi baru-baru ini membuktikan bahawa Amerika sedang merangka suatu bentuk penentangan terhadap pengganas, terutamanya penawanan kumpulan Al-Qaeda di bawah bimbingan Osama bin Laden sehingga sanggup membelanjakan sebanyak 8 billion US dolar. Masyarakat dunia juga menyatakan rasa kecewa terhadap pentadbiran Amerika berikutan penahanan orang awam yang tidak bersalah seramai 455 orang di penjara Guantanamo Bay. Lantaran inilah, tertubuhnya banyak pertubuhan untuk memperjuangkan masyarakat sejagat demi menegakkan keadilan rakyat di samping meruntuhkan kesombongan dan keegoan pemerintahan zalim serta menghancurkan generasi pemerintahan diktator.
"JANA KEHARMONIAN, PERANGI KEGANASAN"
MOHAMAD TAUFIK ABDUL AZIZ
MAHASISWA UM
Posted at Tuesday, October 31, 2006 by
alwan