MEROKOK : MODENITI YANG MEROBOH TRADISI MASYARAKAT
Modenisasi tamadun meninggalkan banyak impak yang negatif di kalangan masyarakat seantero dunia. Bahkan, peradaban dunia juga turut mengalami keruntuhan moral dan akhlak di kalangan masyarakat lantarana arus kemodenan zaman. Pakar-pakar sejarah dunia dan ahli-ahli falsafah antarabangsa melihat masyarakat kini mengalami ketidakseimbangan norma di mana gejala-gejala tidak sihat di persekitaran masyarakat dijustifikasikan sebagai budaya dan adat kebiasaan dalam pentas kehidupan mereka. Lantaran itulah, masyarakat dunia khususnya negara kita Malaysia kelihatan lesu dan mandom impak atau kesan pergantungan mereka kepada budaya dan adat kebiasaan yang disalah tafsir ini.
Idealisme Barat yang meroboh umat Islam
Tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh, termasuk ke dunia Islam, oleh penjajah Barat yang beragama Kristian, dan ianya belum pernah dikenali di zaman Nabi Muhammad s.a.w. Di kalangan masyarakat beratus tahun terdahulu, tembakau dihisap bukan sahaja untuk bersukaria tetapi sebagai satu acara dalam upacara kebudayaan dan keagamaan. Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpengaruh dengan idealisme Barat yang menjajah mereka.
Hari ini, merokok adalah suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang mudah terpedaya dengan budaya asing, terutamanya yang dipaparkan melalui media massa ingin pula bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat suka meniru dan menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian menguasai anak-anak kaum Muslimin di zaman ini. Islam menuntut umatnya untuk meninggalkan gejala tidak sihat ini kerana nilaian keruntuhan iman dan akhlak bergantungan kepada buruk atau baiknya perilaku seseorang. Namun, kelihatan anak-anak remaja kini tidak terlepas juga anak-anak yang masih di bangku persekolahan telah membudayakan tabiat merokok, dalam justifikasi rokok memberi ketenangan kepada mereka untuk belajar dan hilang tekanan semasa proses pembelajaran. Dalm hal ini, siapakah yang harus dipersalahkan? Adakah kalangan ibubapa yang tidak memberi didikan dan ajaran yang sempurna dalam keluarga? Atau pihak pentadbiran sekolah dan kalangan guru-guru yang tidak memberi penekana kepada pelajarnya? Pertikaian sebegini tidak harus dipanjangkan lagi seolah-olah berlaku kebobrokan yang besar dalam sistem pentadbiran negara kita.
Serangan kemandirian masyarakat
AMARAN oleh Kerajaan Malaysia: Merokok boleh membahayakan kesihatan. Demikian amaran yang tertera di kotak-kotak rokok yang dibenarkan penjualannya di Malaysia. Di negara-negara sedang membangun seperti Malaysia, usaha-usaha mencegah perbuatan yang merosakkan kesihatan masih lagi belum dapat dijalankan dengan berkesan. Di Australia umpamanya, pada sepertiga bahagian hadapan kotak rokok tertera huruf-huruf besar: MEROKOK MEMBUNUH - Amaran Kesihatan Kerajaan. Malah perkataan-perkataan ini dilabelkan lebih besar daripada jenama rokok itu sendiri. Pada bahagian belakang kotak rokok pula tertulis sekali lagi amaran tersebut, yang disusuli penerangan berikut: Di Australia, merokok menyebabkan lebih banyak penyakit dan kematian awal daripada penggunaan dadah-dadah lain. Merokok menyebabkan lebih empat kali ganda kematian daripada yang disebabkan kemalangan jalan raya. Pada bahagian tepi kotak rokok juga dinyatakan: Asap dari setiap rokok mengandungi tar asap yang apabila termeluap mengandungi pelbagai bahan kimia, termasuk sesetengah yang menyebabkan barah; nikotin sejenis dadah beracun dan menyebabkan ketagihan; dan karbon monoksida sejenis gas yang mampu membunuh dengan mengurangkan keupayaan darah membawa oksigen.
Demikian, betapa terperinci usaha penyampaian maklumat yang diberikan kepada masyarakat yang masih mahu memperjudikan kesihatannya. Penekanan terhadap kebebasan memberi maklumat yang amat berbeza ini menimbulkan satu persoalan yang membingungkan. Adakah nilai nyawa penduduk negara-negara membangun lebih murah daripada negara-negara maju. Dewasa ini ramai yang bercakap tentang rokok atas dasar fakta. Ini yang terbaik. Tetapi tidak kurang pula yang cuba memutarbelitkan kenyataan dan masih ada yang meragui pendapat pakar-pakar perubatan tentang bahaya merokok.
Agen perosak sistem tubuh
Mungkin kita di Malaysia belum yakin tentang kebenaran ini. Tetapi di Amerika Syarikat, kongresnya telah pun menubuhkan Gedung Penjelasan Kebangsaan bagi 'Merokok dan Kesihatan' lebih 30 tahun lalu. Pertubuhan ini dipertanggungjawabkan untuk menilai semua laporan ilmiah tentang kesan merokok terhadap kesihatan di mana setiap laporan tahunan yang dikeluarkan menunjukkan bahawa merokok pasti membahayakan kesihatan. Justeru itu, Kongres Amerika tiada pilihan lain dan terpaksa mengeluarkan perintah bahawa mulai 1 November 1970, setiap kotak rokok mesti mempunyai label amaran bahaya merokok. Hari demi hari pelbagai laporan diterbitkan tentang bahaya merokok terhadap sistem-sistem tubuh. Bukan sekadar sistem jantung dan pernafasan yang sering tergugat, malah sistem pencernaan, sistem saraf, sistem penglihatan, sistem darah, sistem ginjal dan sistem pembiakan juga boleh terjejas.
Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Yang Esa jua. Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.
Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%. Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghazaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan. Sekiranya masyarakat kita meneliti akan impak bahayanya merokok, sudah tentu mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan doktrinisasi Barat untuk memperjudikan kesihatan dan nilai kehidupan mereka yang cukup singkat di dunia ini.
Kemelesetan ekonomi negara
Ada teori yang mengatakan pendapatan negara meleset sebanyak 100 juta ringgit setahun jika rakyatnya tidak merokok. Pendapatan ini mungkin datang dari hasil iklan dan pelbagai cukai yang dikenakan oleh kerajaan, contohnya cukai jualan dan cukai korporat keuntungan syarikat. Keadaaan ini menguntungan kerajaan kita namun ia tetap memberi mudarat kepada sebahagian besar daripadanya. Adakah barisan kepimpinan negara sahaja dikira sebagai anggota kerajaan? Tidakkah rakyat Malaysia juga sebahagian daripada kerajaan? Mutakhir ini, kajian para saintis mengesahkan bahawa Malaysia adalah antara negara yang menduduki tempat teratas dalam ranking berkaitan aktiviti merokok dalam masyarakat di kalangan negara-negara Asia Tenggara. Keadaan ini menyebabkan kerajaan menanggung bebanan dan kos yang besar dalam agenda pemulihan rakyatnya yang mengidapi pelbagai penyakit akibat kegiatan merokok. Sebagaimana yang termaktub dalam catatan perbelanjaan negara, dalam tahun 1990 sahaja perokok Malaysia membakar lebih 1.7 bilion ringgit. Jumlah ini merugikan negara kerana sekiranya jumlah tersebut dilaburkan ke dalam Amanah Saham Bumiputra, sudah tentu Malaysia akan menerima jumlah pulangan yang besar untuk pembangunan dan pemesatan negara. Kerajaan juga telah membelanjakan jutaan ringgit untuk membangunkan Institut Jantung Negara (IJN) dan pelbagai pusat kesihatan dan hospital lain di seluruh negara. Tempoh penderitaan seseorang pesakit akibat merokok, umpamanya sakit jantung adalah agak lama. Ubat-ubatan yang diperlukan sangat mahal dan kadang kala institusi perubatan negara terpaksa mengeksport bekalan ubatan ini dari luar lantaran kekurangan ubatan yang berkualiti di dalam negara. Malahan, apabila diteliti kembali berkenaan kos rawatan dan penjagaan, jumlahnya amatlah besar dan memerlukan dana yang berterusan bagi memastikan kebajikan para pesakit terjamin. Lantaran itu, bukanlah suatu kejanggalan mengapa Kementerian Kesihatan sentiasa memerlukan peruntukan kewangan yang besar setiap tahun.
Saranan
Rakyat Malaysia khususnya golongan remaja merupakan produktiviti individu sukar dinilai tetapi kini, negara amat memerlukan generasi yang mampu bekerja untuk meningkatkan pendapatan negara. Mereka dikira kos habis, yang mana sukar untuk dicari ganti. Namun yang pasti, masalah rokok bukan masalah fakta atau falasi, bukan juga masalah halal atau haram, tetapi sebenarnya percaturan untung rugi kewangan. Saya memandang serius akan gejala merokok ini dan menyarankan agar setiap individu dalam masyarakat bersama-sama melindungi negara daripada terus dijajah dengan idealisme-idealisme Barat yang kini telah membentuk identiti dan budaya hidup masyarakat kita. Masyarakat seharusnya menggali kembali identiti tanah air kita yang telah lama hilang dek zaman, lantaran penguasaan Barat terhadap Tanah Melayu suatu masa dahulu. Bertepatan dengan kemuliaan Ramadhan yang kini menjelma, saya menyarankan masyarakat untuk terus memulaukan aktiviti merokok yang kian menghancurkan peribadi dan kehidupan masyarakat kita. Ayuh kita semaikan akhlak-akhlak Muslim di samping membumikan tuntutan-tuntutan wajib sebagai seorang Muslim sebagai langkah pentarbiyahan diri.
Hapuskan generasi perokok, tingkatkatkan produktiviti intelektualis
MOHAMAD TAUFIK ABDUL AZIZ
MAHASISWA UM