|
SENJA YANG MURAM ITU
Di sebalik kemuraman senja, aku ikut menjadi seorang pencinta, yang kadang-kala menyedari betapa indahnya ciptaan-MU. Di kesempatan ini, aku jadi salah seorang yang memikirkan bahawa betapa aku tidak memahami warna senja yang ENGKAU jadikan itu. Adakah warna senja itu sekadar mengikuti putaran alam, yang memberitahu manusia bahawa dia adalah sahabat malam dan siang. Hadirnya dia sesudah habis siang, hadirnya malam sesudah selesai dia mengucap selamat tinggal, pada manusia yang sentiasa sibuk pada siang hari.
Warna senja itu sebenarnya warna kemuraman. Kerana di antara 2 sahabat setianya, dialah yang paling muram. Mengapa warna yang dimiliki olehnya tidak bisa menjadi peringatan kepada manusia yang seringkali leka bahawa hari yang terang itu sudah sampai ke penghujungnya. Dan munculnya dia adalah untuk mengingatkan, semoga mereka yang menghuni Bumi TuhanNya tidak lagi leka dengan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
Munculnya dia adalah sebagai ekspresi kecewa sahabat pertamanya yang terluka ; siang sebelum sampai waktu kecewa sahabat keduanya, iaitu malam. Kerana ketika waktu sahabat pertamanya manusia leka dari mengingati Pencipta mereka.Dan sebelum malam muncul, senja terlebih dahulu telah menunjukkan kemuramannya, yang menyebabkan malam turut sama bersedih, sambil memikirkan nasibnya. Adakah manusia juga akan melakukan perkara yang sama seperti yang telah dilalukukan kepada siang?
Dan kedinginan malam itu, membuatkan aku berfikir, adakah itu caranya malam bersedih?
Dan warna senja yang muram miliknya itukah yang digunakan untuk memujuk siang dan malam? Supaya tidak bersedih dengan tingkah manusia? Siang menjadikan dirinya tempat bergantung, sementara malam menjadikannya sebagai sandaran. Bagaimana dengan dirinya yang turut sama bersedih dengan kealpaan manusia? Pada siapa pula hendak dijadikan sandarannya?
Untuk kesekian kalinya aku merasai betapa besarnya kuasa tuhan ,yang menjadikan waktu yang pendek seperti senja itu mampu menerima kesedihan yang maha berat. Tetap sabar berada di antara 2 sahabat. Satu yang dilukai dan satu lagi bakal dilukai. Tetap setia menemani sahabatnya, agar ada jarak pemisah di antara dua waktu yang masing- masing menanggung luka yang berat. Selagi manusia lalai dan leka, selagi itulah malam dan siang akan terus menangisi ketidakupayaan manusia menjadikan mereka waktu yang penuh berharga.
Dan selagi 2 sahabat itu melalui saat- saat kesukaran, selagi itulah warna senja yang merah padaku itu akan menjadi warna yang sentiasa muram.
MOHAMAD TAUFIK ABDUL AZIZ,
Insan Mendamba Kasih…
|